ALOR SETAR – Seramai 42 orang tenaga pengajar termasuk lima
dari SCUH Pulau Pinang dan tiga dari SCUH Perlis telah menghadiri Bengkel
Pengajaran & Pembelajaran Silat Cekak Ustaz Hanafi Negeri Kedah Siri 2 yang
diadakan pada Isnin lepas di Kolej Universiti INSANIAH. Bengkel ini dianjurkan
oleh Jabatan Pelajaran dan Latihan SCUH Negeri Kedah dengan kerjasama Persatuan
Seni Silat Cekak KUIN.
Bengkel turut dimeriahkan dengan kehadiran Timbalan Pengarah
MARA Perlis, Tuan Jamaluddin bin Hj Hanafi yang memberikan ceramah mengenai
asas-asas yang perlu dikuasai oleh tenaga pengajar dan etika ketika mengajar.
Kandungan lain bengkel adalah menyampaikan Tatacara Pengajaran
SCUH kepada peserta agar setiap pengajaran dan pembelajaran silat di seluruh Kedah adalah
seragam dan teratur.
Sementara itu di SUNGAI PETANI, Bengkel Pengajaran &
Pembelajaran Silat Cekak Ustaz Hanafi Negeri Kedah Siri 1 berjaya dianjurkan
dengan kerjasama Persatuan Seni Silat Cekak Pusaka Hanafi UiTM Kedah pada 15
Januari yang lalu. Bengkel ini turut dimeriahkan dengan ceramah mengenai Etika
Tenaga Pengajar yang disampaikan oleh Pengarah Kemas Pulau Pinang, Tuan
Shahrulnizam Jantan.
Seramai 31 peserta terdiri daripada tenaga pengajar dari
kelas sekitar Sungai Petani dan Kulim. Peserta didedahkan teknik pengajaran
kelas di peringkat asas, jatuh , potong dan tamat serta sedikit latihan
buah-buah silat bagi memantapkan kemahiran tenaga pengajar.
Yang Dipertua SCUH Negeri Kedah, En Zakaria bin Mat dalam
ucapan penutupnya berharap dengan bengkel ini, pengajaran SCUH dapat diselaraskan
dan dipertingkatkan mutunya. Beliau juga menyeru supaya keahlian di setiap kelas ditambah bagi mencapai
sasaran kempen JOM SILAT 2015.