Wednesday 25 July 2012

Penerangan dan Persembahan SCUH Kedah (Jun dan Julai 2012)

Jabatan Komunikasi Korporat menerima banyak undangan untuk mengadakan sesi persembahan silat dan penerangan dari pelbagai pihak. Bermula pada 22 Jun 2012, skuad persembahan membuat persembahan di program Wanita Prihatin bertempat di Dewan Guru Alor Setar. Persembahan gimik perasmian dipersembahkan ketika perasmian program oleh Yang Berbahagia Toh Puan Hajah Faikah Sheikh Hamzah, isteri Menteri Besar Kedah. Program ini adalah anjuran Pertubuhan Wanita Kedah, sebuah NGO yang memperjuangkan kebajikan wanita terutama ibu tunggal.

Tanggal 24 Jun 2012, Jabatan Komunikasi Korporat  diketuai En Muhammad Yusof dijemput mengadakan penerangan mengenai SCUH di Kg Berjaya, Alor Setar. Pihak jawantankuasa kampung dengan kerjasama Masjid Kg Berjaya berhasrat mengadakan satu aktiviti yang sihat dan berfaedah kepada belia kampung.


Pada 26 Jun 2012 pula, pihak PSSCPUH UiTM Kedah menjemput Jabatan Komunikasi Korporat untuk mengadakan persembahan kepada kira-kira 300 pelajar UiTM Merbok di Program Ceramah "Penangan Cinta Adam dan Hawa" sempena pengambilan program ahli baru di sini. Program dimulakan dengan ceramah oleh penasihat persatuan, Ustaz Hadi dan seterusnya penerangan dan persembahan SCUH pada sesi kedua. Kaunter pendaftaran dan pameran SCUH juga dibuka bagi pelajar UiTM mengenali SCUH dengan lebih dekat. Walaupun baru berusia 1 tahun, dengan program yang julung kalinya diadakan serta AJK yang komitmen dan berdedikasi, harapan semoga PSSCPUH UiTM Kedah terus berkembang di masa akan datang.


Skuad persembahan dari PL Pokok Tai dan SMK Guar Chempedak pula dijemput memeriahkan program hari sukan sekolah dengan membuat persembahan di SMK Guar Chempedak pada 20 Jun 2012 dan di SMK Batu 17 pada 28 Jun 2012. Persembahan diketuai oleh En Sobri Abd Rashid dan dibantu oleh ahli-ahli lain.


Akhir sekali, pihak Jabatan mengadakan persembahan sempena Hari Ko Kurikulum SMK Mergong yang diadakan pada 18 Julai 2012. Persembahan dimeriahkan dengan persembahan parang lading oleh Penyelia Kelas merangkap guru SMK Mergong sendiri iaitu Cikgu Shamsulbadri. Khemah pameran statik dan video juga disediakan oleh ahli SCUH SMK Mergong sendiri untuk lawatan pengunjung.

Pihak Jabatan Komunikasi Korporat mengucapkan jutaan terima kasih dan tahniah kepada semua yang berjaya mengadakan persembahan dan pameran sepanjang bulan Jun dan Julai. Semoga dengan usaha ini, kita dapat merealisasikan program JOM Silat 2015 nanti, Insya Allah. - unit Dokumentasi dan Multimedia

Thursday 12 July 2012

Pewaris Mutlak Silat Cekak Terima Anugerah Doktor Kehormat dari Asia Pacific Open University of Martial Art (APACMA)





KUALA LUMPUR, 8 Julai 2012 – Pewaris Mutlak Silat Cekak, YM Syeikh Hj Md Radzi Bin Hj Hanafi hari ini menerima Pengurniaan Doktor Kehormat dari Asia Pacific Open University of Martial Art (APACMA).  Tetamu Kehormat, Y.bhg. Dato’ Sri Dr. Siti Zaharah Sulaiman, mantan Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat telah menyampaikan anugerah itu kepada YM Syeikh Hj Md Radzi di Istiadat Majlis Konvokesyen Ke-2 Asia Pacific Open University of Martial Art di Dewan Kristal, Menara TM.
Menurut wakil APACMA, Anugerah Doktor Kehormat ini menandakan pengiktirafan pihak universiti di atas sumbangan dan komitmen tinggi YM Syeikh Hj Md Radzi dalam membangunkan dan mengembangkan seni silat khususnya Silat Cekak Ustaz Hanafi kepada masyarakat. 
YM Syeikh Hj Md Radzi mula menjalankan tanggungjawab sebagai Guru Utama Silat Cekak Ustaz Hanafi pada tahun 1993. Di bawah kepimpinan beliau banyak pencapaian yang telah dicapai dan kini beliau menerajui Persekutuan Seni Silat Cekak Pusaka Ustaz Hanafi sebagai Presiden merangkap Guru Utama. Beliau juga merupakan salah seorang ahli senat Asia Pacific Open University of Martial Art (APACMA).

Sunday 8 July 2012

Perlancaran Logo Perayaan Jubli Emas (50 Tahun) Silat Cekak Ustaz Hanafi.

Perlancaran Logo Perayaan Jubli Emas (50 Tahun) Silat Cekak Ustaz Hanafi.



Kuala Lumpur, 4 Julai 2012 – Persekutuan Seni Silat Cekak Pusaka Ustaz Hanafi Malaysia dengan rasminya telah melancarkan Logo Perayaan Jubli Emas(50 Tahun) Silat Cekak Ustaz Hanafi yang akan disambut pada tahun 2015 nanti.
Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Y.A.B Datuk Seri Haji Mohd Ali Bin Mohd Rustam Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan (PESAKA) merangkap Ketua Menteri Melaka, pada 1hb Julai 2012 di Grandball Room Hotel Flamingo,Kuala Lumpur.
Acara kemuncak Perayaan Jubli Emas (50 Tahun) Silat Cekak Ustaz Hanafi ialah Program My Silat yang akan menghimpunkan 50 ribu persilat Silat Cekak Ustaz Hanafi untuk membuat persembahan silat yang akan dicatatkan di dalam Guiness World Record bagi kategori “The Largest Martial Art Display “.
Bersama kami untuk mencatat sejarah dunia pada tahun 2015.